
Tak tahan harung becak
Sinar Harian 16 Sep 2011
KUALA PILAH – Penduduk Kampung Baru Lanjut Manis mendakwa berdepan kesulitan berulang-alik ke rumah mereka berikutan laluan berkenaan becak setiap kali selepas hujan kerana tidak berturap sehingga kini.
Seorang penduduk, Saedun Hussin, 45, berkata, sejak 2008, kami membina rumah di sini namun sehingga kini jalan itu masih belum diturap.
Menurutnya, kami berdepan kesukaran apabila setiap kali hujan lebat.
“Kenderaan memang tidak boleh melalui jalan itu kerana becak dan licin sehingga menyebabkan kami terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah,” katanya.
Saedun berkata, agak terkilan apabila dimaklumkan kepada pihak berkaitan, namun ia masih lagi dipandang sepi.
“Saya sudah memberitahu kepada pihak berkaitan berhubung masalah ini, tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan dilakukan.
“Saya dan penduduk lain terkilan kerana masih menanti jalan penyelesaian yang cuba dilakukan dan tidak sabar menyelesaikan masalah ini terutama kesulitan dihadapi pelajar sekolah yang terpaksa berdepan debu atau becak ketika musim hujan,” katanya.
Katanya, anak-anak juga berdepan masalah kesulitan hendak ke sekolah kerana jalan berlumpur.
“Walaupun jalan ini diletakkan batu kerikil di merata tempat, tetapi tanah ini tetap berlumpur dan becak setiap kali hujan.
“Kadang-kadang anak-anak terpaksa memakai selipar terlebih dahulu untuk keluar dari rumah sebelum sampai ke sekolah. Oleh itu, saya berharap pihak berkaitan dapat memandang serius masalah ini demi kesejahteraan lima keluarga yang ada di sini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9532804.asp






